About Mohd Hafiz Fital

Assalamualaikum,

Orang kata tak kenal maka tak cinta.  Jadi izinkan saya menggunakan ruang ini bagi memperkenalkan diri saya secara ringkas.  Nama saya seperti yang anda sedia maklum, Mohd Hafiz Bin Fital.  Berasal dari Melaka Bandaraya Bersejarah.  Tetapi kerana tuntutan hidup, saya sekarang berada di negeri Selangor Darul Ehsan.  Berhijrah demi kerjaya, keluarga dan masa depan.

Sejujurnya saya bukanlah seorang yang berkelulusan dalam bidang fotografi.  Saya menghabiskan 3 tahun di UiTM untuk Diploma Perakaunan.  Tiada sedikit pun berkait dengan bidang fotografi.  Tetapi kerana minat yang mendalam dalam fotografi, membuatkan saya memilih bidang ini sebagai kerjaya kedua saya.

Tahun 2008 saya berjaya mendapatkan SLR saya yang pertama;  Olympus E510.  Perlahan-lahan saya mula mempelajari bagaimana untuk menjadi jurufoto yang bagus.  Duit mengalir bagaikan air demi minat yang mendalam.

Pada tahun yang sama juga saya berjaya mendapatkan 'job' saya yang pertama.  Majlis perkahwinan seorang rakan lama, Natasha.  Alhamdulillah, dia masih memberi kepercayaan kepada saya untuk merakamkan majlis resepsi beliau walaupun beliau tahu saya masih tiada sebarang pengalaman di dalam fotografi perkahwinan.

Pengalaman di majlis resepsi Natasha saya gunakan sebagai panduan saya untuk menjadi jurufoto yang lebih baik.  Tanpa jemu saya terus mempelajari teknik-teknik dan sudut-sudut terbaik bagi fotografi perkahwinan.  Tahun 2009 menemukan saya dengan seorang pemilik butik dan juga seorang perancang perkahwinan; Puan Lynna Ameer dari Seri Mempelai (http://smempelai.blogspot.com/) .  Beliau dan juga suami (http://potraiturimage.blogspot.com/) adalah orang yang paling banyak membantu saya mengembangkan kerjaya saya di dalam bidang ini.  Satu demi satu tugasan diberikan kepada saya walaupun mereka sedia maklum pengalaman saya ketika itu masih lagi cetek.

Alhamdulillah, hari ini saya sudah mampu bergerak sendiri.  Pun begitu, jasa kedua orang yang saya tekah anggap sebagai abang dan kakak masih perlu dibalas.

Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada isteri tercinta, Nurulhaiyan Mohd Maliki kerana tanpa sokongan dan pengorbanan beliau, saya tidak mungkin mampu bertahan di dalam bidang ini. Juga kepada rakan-rakan dan pengantin-pengangtin yang telah memberi kepercayaan kepada saya, hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian.

Akhir sekali, sokongan dari kalian adalah sesuatu yang saya harap-harapkan. 

Sekian, wassalam...